Jumat, 23 Mei 2008

Dhikrullah Antara Sunnah Dan Bid'ah

1. Pengenalan

Antara berbagai ilmu dan amalan yang disyariatkan Allah dengan jelas ialah ilmu dan amalan dhikrullah. Wujudnya dalam Islam tidak boleh diragukan, apatah lagi untuk ditolak atau dinafikan. Penolakan dan penafiannya bermakna tidak percaya, tidak beriman terhadap beberapa ayat al-Quran yang menyuruh supaya memperbanyakkan dhikrullah, ayat-ayat yang menjelaskan kebaikannya, kepentingannya, contoh amalannya dan ayat-ayat lain yang berkaitan dengannya. Penolakannya juga bermakna tidak mempercayai kebenaran hadith-hadith Nabi dan hadith-hadith Qudsi yang menyentuh ilmu dan amalan dhikrullah.

Ketulenan atau kesahihan ilmu dan amalan dhikrullah seperti juga berbagai ilmu dan amalan lainnya bukan hanya dapat dibuktikan menerusi al-Quran dan hadith Nabi s.a.w tetapi juga dapat dipastikan menerusi latarbelakang sejarahnya sejak zaman awalnya (zaman Nabi s.a.w) hinggalah ke hari ini.

Hubungan dengan ilmu tasawwuf sangat erat kerana dhikrullah juga dianggap sebagai satu unsur yang menjiwai ilmu tasawwuf dan prinsipnya yang utama. Demikian juga hubungannya dengan ilmu tauhid, kerana ianya dianggap sebagai jalan cepat dan dekat untuk sampai ke ma'rifah. Malahan dhikrullah adalah menjadi asas dan gandingan yang tidak boleh dipisahkan dari amalan tafakkur, tadhakkur, tafahhum dalam kesungguhan mujahadah seseorang hamba untuk mengenal Allah dan masuk ke dalam khadratnya secara dhawqi sesudah mengenainya secara sama'ie.

Wujudnya berbagai tarekat yang diamalkan oleh umat Islam di seluruh dunia adalah berasal dari ilmu dan amalan dhikrullah ini yang mana pernah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada sesetengah sahabat secara khusus sehingga timbulnya di zaman kemudian dalam tasawwuf dua jenis dhikrullah; dhikir darajat dan dhikir hasanat.

Bangunlah para mujtahid suflyah menumpukan usaha mereka secara khusus dalam ilmu dan amalan dhikrullah dengan digariskan berbagai adab dan kaedah amalannya yang akhirnya ilmu dan amalan dhikrullah yang diijtihadkan itu dinisbahkan kepada namanya. Maka wujudlah berbagai nama tarekat Naqshabandiyah, Qadiriyah, Ahmadiyah, Satariyah, Shadhaliyah, Rifl'iyah, dan sebagainya lagi. Berbagai aliran tarekat tersebut dari satu sudut samalah juga seperti wujudnya berbagai madhhab feqah; Hanafl, maliki, Shafl'e dan Hanbali.

Kini zaman Nabi s.a.w telah berlalu lebih dari 14 abad yang bermakna banyak ilmu yang hilang berikutan kewafatan para ulamak. Tidak semua yang mereka ketahui, fahami dan amalkan dapat kita warisi sepenuhnya. Abu Talib Makki (W. 386 H) dalam kitabnya, Qutul-Qulub menyatakan bahawa di abad ke 4 hijrah telah berlaku salah faham umat Islam mengenai berbagai amalan Islam sehingga sesetengah amalan yang diamalkan oleh orang ramai telah lari jauh dari kebenaran.

Pengkhususan dalam pengajian Islam menyebabkan kebanyakan ulamak sekarang hanya dapat mengetahui dan memahami sesuatu bidang pengajian sahaja. Semua faktor-faktor tersebut disamping berbagai faktor lain menyebabkan ilmu dan amalan dhikrullah menjadi luput secara beransur-ansur. Akhirnya ianya menjadi satu amalan yang paling kontroversi dan selalu dihubungkan dengan amalan bid'ah dan sesat.

Syaitan yang menjadi musuh ketat manusia memang sentiasa menyesatkan manusia. Syaitan mengadakan berbagai ilmu dan amalan tiruan atau mencampur-adukkan unsur-unsur batil dalam ilmu dan amalan Islam. Yang menjadi mangsa ialah mereka yang jahil dan yang tidak ikhlas. Faktor tersebut menyebabkan ilmu dan amalan dhikrullah mudah bertukar dari sunnah kepada bid'ah, dari hak kepada batil.

Disebabkan kejahilan juga maka amat sukar untuk menentukan yang hak dan yang batil, sunnah dan bid'ah. Akhirnya kita ambil jalan mudah dengan menolak semua jenis amalan dhikrullah, semua tarekat, walaupun ada di sudut hati kesedaran adanya tarekat mu'tabarah. Dengan kurnia, rahmat dan hidayat Allah semoga kertas kerja ini dapat menjelaskan dan memberikan garis panduan dalam usaha kita memelihara kebenaran ilmu dan amalan dhikrullah dan berbagai tarekat suflyah.

Tidak ada komentar: