Minggu, 25 Mei 2008

Dhikr Sirr dan Jihar

Al-Qur'an bukan hanya memerintahkan kita supaya berdhikrullah tetapi juga menjelaskan cara bagaimana dhikrullah itu dilakukan.
Misalnya dhikrullah itu hendaklah dilakukan secara jihar atau secara sir di dalam hati. Allah berfirman : Maksudnya:
'Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut (kepadaNya) dan tanpa ada suara di pagi hari dan petang (sepanjang siang dan malam) dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang lalai.
(Surah Al-A'raf, ayat 205)
Menurut Shaikh Fakhr al-Din al-Razi dalam kitab tafsirnya, Mafatih al-Ghayib bahawa walaupun ayat ini asalnya ditujukan kepada Rasulullah s.'a.w namum mengikut maksud lafaz perkataan ayat di atas ditujukan juga kepada umatnya. Oleh itu sayugialah umatnya melakukan dhikr sirr atau khafi ini. Rasulullah s.'a.w sememangnya sentiasa berdhikir dalam hati. Baginda pernah bersabda :Maksudnya:
'Sesungguhnya kedua-dua mataku menidurkan aku, padahalnya hatiku tidak tidur.'
Maksud hati nabi tidak tidur ialah hati baginda sentiasa berdhikrullah ketika baginda tidur.

Berhubung dhikr jihar atau bersuara kuat Ibn Abbas pernah menyebutkan bahawasanya menguatkan suara dengan dhikrullah setelah mengerjakan sembahyang fardhu itu dilakukan di zaman Rasuluilah s.a.w, sehingga beliau akan dapat tahu mereka telah selesai menunaikan sembahyang fardhu dengan cara terdengar mereka berdhikrullah dengan suara kuat'.(Sahih Bukhari, Jilid 1:802; 803)

Timbullah masalah mana yang afdhal atau yang lebih baik, dhikr jihar atau sirr ?

Setengah ulamak tasawuf berpendapat bahawa dhikr jihar adalah lebih baik/afdhal. Sebaliknya setengahnya berpendapat bahawa dhikr sirr lebih baik/afdhal kerana ianya tidak menimbulkan riyak, ujub dan tidak menganggu orang lain, terutamanya jika dilakukan di masjid atau sebagainya. Lagi pun dhikr sirr itu boleh dilakukan terus-menerus dalam apa keadaan sekalipun sambil bekerja atau bercakap.

Al-Imam al-Nawawi pula berkata yang bermaksud :

"Dhikr itu ada kalanya di hati dan ada kalanya di lidah dan yang afdhalnya ialah dhikr di hati dan di lidah kedua-duanya sekali. Sekiranya dilakukan di salah satunya sahaja maka dhikr di hati itulah yang lebih afdhal"
(Al-Futuhat al-Rabaniyyah, Jld. 1, h.108)

Terdapat hadith-hadith yang berlawanan, ada hadith yang menyebutkan bahawa dhikr sirr itu lebih afdhal dan ada juga hadith yang menyebutkan bahawa dhikr jihar itu lebih afdhal, kerana itu setengah ulamak dalam usaha mereka menyesuaikan hadith-hadith yang berlawanan tersebut supaya dapat diterima kebenaran semuanya dengan mengatanya bahawa yang mana satu yang lebih afdhal itu bergantung kepada seseorang yang melakukannya dan juga bergantung kepada suasana dan keadaan. Jika seseorang itu perlu berdhikr kuat dan tidak menimbulkan gangguan serta lebih baik kesannya maka afdhallah baginya dhikr jihar/kuat suara. Sebaliknya jika seseorang itu merasakan dengan dhikr sirr lebih baik dan lebih berkesan maka afdhal baginya dhikr sirr.

--------------------------------------------------------------------------------

Tidak ada komentar: