Jumat, 23 Mei 2008

Perintah dan Peringatan Allah Mengenai Dhikrullah

Dalam al-Quran terdapat bukan hanya ayat-ayat yang memerintahkan supaya berdhikrullah, tetapi juga ayat-ayat yang mejelaskan cara berdhikrullah, kelebihan atau kebaikan dhikrullah, golongan orang-orang yang berdhikrullah dan ciri-ciri mereka, amaran Allah terhadap orang yang melupakannya dan berbagai ayat lain yang ada kaitan dengan dengan ilmu dan amalan dhikrullah tersebut. Semua ayat-ayat yang menyentuh perkara yang disebutkan menjelaskan dengan terang bahawa ilmu dan amalan dhikrullah adalah disyariatkan oleh Allah. Antara ayat yang memerintahkan supaya kita berdhikrullah ialah :Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
(Surah al-Ahzab, ayat 41 - 42)Firman Allah;
Maksudnya:
Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang;(Surah Al-Dahr (Al-Insaan), ayat 25)
Maksudnya:
Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan. (Surah Al-Muzammil, ayat 8)

Dhikrullah yang dimaksudkan dalam tiga-tiga perintah Allah dalam ayat di atas ialah bertasbih, bertahlil, bertakbir, menyebut dan mengingati nama-nama Allah dan sebagainya. Dalam al-Quran sememangnya kalimah aldhikr digunakan dengan berbagai maksud dan makna, yang lain daripada mengingati dan menyebut nama Allah S.W.T. Misainya firman Allah;
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya), (Surah Al-Jumu'ah, ayat 9)

Dhikrullah dalam ayat diatas bermaksud sembahyang Jumaat kerana ada qarianah atau keterangan yang menunjukan makna demikian iaitu (اذا نودى للصلوة).
Demikian juga firman Allah;
Maksudnya:
'Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.(Surah Al-Hijr, ayat 9)

Al-dhikr dalam ayat ini bermakna al-Quran disebabkan didahului perkataan (نزلنا) kami turunkan.Demikian juga firman Allah:
Maksudnya:
Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.(Surah An-Nahl, ayat 43)

Al-dhikr dalam ayat tersebut bermakna ilmu. Adanya kalimah dhikrullah dan al-dhikr yang digunakan dalam al-Quran dengan berbagai maknanya tersebut tidaklah bermakna bahawa Allah tidak ada mensyariatkan ilmu dan amalan dhikrullah sehingga kita tidak boleh mengamalkan tahlil, tahmid, tasbih, takbir, menyebut dan mengingati nama-nama Allah Kita juga tidak boleh beranggapan bahawa bila kita telah mengerjakan sembahyang atau membaca al-Quran, atau mengerjakan haji atau umrah atau bersedekah kita telah berdhikrullah-sudah mengingati Allah.

Mengikut kaedah bahasa bila sesuatu kalimah atau perkataan memberikan berbagai makna seperti itu, maka makna yang digunakan ialah makna yang selalu digunakan pada kebiasaannya dan makna-makna lainnya itu boleh digunakan bila ada qarinah lafziyah atau qarinah halliyah, seperti ketiga-tiga ayat di atas. Kalimah al-dhikr atau dhikrullah pada kebiasaan penggupaannya bermakna dhikrullah secara haqiqi.

Kesimpulannya ialah ilmu dan amalan dhikrullah seperti yang difahami dan diamalkan dalam tasawwuf itu adalah disyariatkan. Seseorang yang telah melakukan ibadat sembahyang atau bersedekah atau berpuasa dan sebagainya tidak dianggap ia telah berdhikrullah sebagaimana yang diperintahkan. Sebab itu Allah menyebutkan dhikrullah dan sembahyang itu secara berasingan dalam firmannya:Maksudnya:
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?(Surah Al-Maa'idah, ayat 91)

Allah juga berfirman
Maksudnya:
Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.(Surah al-Nisaa', ayat 103)

Adanya hadith-hadith yang menjelaskan kelebihan dan kebaikan dhikrullah dan hadith-hadith yang berkaitan dengannya sebahagiannya akan dipaparkan di bawah ini nanti memperkukuhkan lagi wujudnya ilmu dan amalan dhikrullah.

Berdasarkan ayat 41 surah al-Ahzab diatas kita orang-orang mukmin diperintah supaya mengamalkan dhikrullah sebanyak-sebanyaknya. Maka wujudlah berbagai keterangan yang dibuat oleh para ulamak berhubung dengan dhikr banyak-banyak ini. Setengahnya menegaskan bahawa dhikr sebanyak-banyaknya itu tercapai bila orang yang berdhikrullah itu hanya ingat Allah sahaja sehingga tidak ingat yang lain.

Sebagai salah satu kaedah latihan para murid yang belum dapat dan mencapai taraf dhikr banyak-banyak itu maka sesetengah shaikh dalam sesetengah tarekat menentukan bilangan dhikrullah yang sepatutnya mereka amalkan pada setiap hari atau waktu tertentu. Oleh yang demikian bilangan dhikr yang terdapat dalam tarekat bukan bid'ah tetapi memang didasarkan kepada syari'at yang telah diijtihadkan oleh sesetengah ulamak.

Dari pengalaman para shaikh mendapati bilangan-bilangan yang mereka tentukan itu dapat membantu para murid untuk tekun dan bersungguh-sungguh berdhikrullah sehingga akhirnya mereka dapat mencapai apa yang dimaksudkan dengan dhikrullah sebanyak-banyaknya. Sebab itu bila seseorang murid itu telah mencapai satu tingkat tertentu maka bilangan-bilangan yang ditentukan itu tidak penting dan tidak perlu dititik beratkan lagi. Kesimpulannya bilangan dhikr yang ada dalam tarekat bukanlah bid'ah yang sesat dan terkeluar dari syariat Islam.

Dhikrullah Antara Sunnah Dan Bid'ah

1. Pengenalan

Antara berbagai ilmu dan amalan yang disyariatkan Allah dengan jelas ialah ilmu dan amalan dhikrullah. Wujudnya dalam Islam tidak boleh diragukan, apatah lagi untuk ditolak atau dinafikan. Penolakan dan penafiannya bermakna tidak percaya, tidak beriman terhadap beberapa ayat al-Quran yang menyuruh supaya memperbanyakkan dhikrullah, ayat-ayat yang menjelaskan kebaikannya, kepentingannya, contoh amalannya dan ayat-ayat lain yang berkaitan dengannya. Penolakannya juga bermakna tidak mempercayai kebenaran hadith-hadith Nabi dan hadith-hadith Qudsi yang menyentuh ilmu dan amalan dhikrullah.

Ketulenan atau kesahihan ilmu dan amalan dhikrullah seperti juga berbagai ilmu dan amalan lainnya bukan hanya dapat dibuktikan menerusi al-Quran dan hadith Nabi s.a.w tetapi juga dapat dipastikan menerusi latarbelakang sejarahnya sejak zaman awalnya (zaman Nabi s.a.w) hinggalah ke hari ini.

Hubungan dengan ilmu tasawwuf sangat erat kerana dhikrullah juga dianggap sebagai satu unsur yang menjiwai ilmu tasawwuf dan prinsipnya yang utama. Demikian juga hubungannya dengan ilmu tauhid, kerana ianya dianggap sebagai jalan cepat dan dekat untuk sampai ke ma'rifah. Malahan dhikrullah adalah menjadi asas dan gandingan yang tidak boleh dipisahkan dari amalan tafakkur, tadhakkur, tafahhum dalam kesungguhan mujahadah seseorang hamba untuk mengenal Allah dan masuk ke dalam khadratnya secara dhawqi sesudah mengenainya secara sama'ie.

Wujudnya berbagai tarekat yang diamalkan oleh umat Islam di seluruh dunia adalah berasal dari ilmu dan amalan dhikrullah ini yang mana pernah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada sesetengah sahabat secara khusus sehingga timbulnya di zaman kemudian dalam tasawwuf dua jenis dhikrullah; dhikir darajat dan dhikir hasanat.

Bangunlah para mujtahid suflyah menumpukan usaha mereka secara khusus dalam ilmu dan amalan dhikrullah dengan digariskan berbagai adab dan kaedah amalannya yang akhirnya ilmu dan amalan dhikrullah yang diijtihadkan itu dinisbahkan kepada namanya. Maka wujudlah berbagai nama tarekat Naqshabandiyah, Qadiriyah, Ahmadiyah, Satariyah, Shadhaliyah, Rifl'iyah, dan sebagainya lagi. Berbagai aliran tarekat tersebut dari satu sudut samalah juga seperti wujudnya berbagai madhhab feqah; Hanafl, maliki, Shafl'e dan Hanbali.

Kini zaman Nabi s.a.w telah berlalu lebih dari 14 abad yang bermakna banyak ilmu yang hilang berikutan kewafatan para ulamak. Tidak semua yang mereka ketahui, fahami dan amalkan dapat kita warisi sepenuhnya. Abu Talib Makki (W. 386 H) dalam kitabnya, Qutul-Qulub menyatakan bahawa di abad ke 4 hijrah telah berlaku salah faham umat Islam mengenai berbagai amalan Islam sehingga sesetengah amalan yang diamalkan oleh orang ramai telah lari jauh dari kebenaran.

Pengkhususan dalam pengajian Islam menyebabkan kebanyakan ulamak sekarang hanya dapat mengetahui dan memahami sesuatu bidang pengajian sahaja. Semua faktor-faktor tersebut disamping berbagai faktor lain menyebabkan ilmu dan amalan dhikrullah menjadi luput secara beransur-ansur. Akhirnya ianya menjadi satu amalan yang paling kontroversi dan selalu dihubungkan dengan amalan bid'ah dan sesat.

Syaitan yang menjadi musuh ketat manusia memang sentiasa menyesatkan manusia. Syaitan mengadakan berbagai ilmu dan amalan tiruan atau mencampur-adukkan unsur-unsur batil dalam ilmu dan amalan Islam. Yang menjadi mangsa ialah mereka yang jahil dan yang tidak ikhlas. Faktor tersebut menyebabkan ilmu dan amalan dhikrullah mudah bertukar dari sunnah kepada bid'ah, dari hak kepada batil.

Disebabkan kejahilan juga maka amat sukar untuk menentukan yang hak dan yang batil, sunnah dan bid'ah. Akhirnya kita ambil jalan mudah dengan menolak semua jenis amalan dhikrullah, semua tarekat, walaupun ada di sudut hati kesedaran adanya tarekat mu'tabarah. Dengan kurnia, rahmat dan hidayat Allah semoga kertas kerja ini dapat menjelaskan dan memberikan garis panduan dalam usaha kita memelihara kebenaran ilmu dan amalan dhikrullah dan berbagai tarekat suflyah.